Kedah Negeri Yang Mula-Mula Menerima Islam di Rantau Semenanjung

KEDAH-Yang di Malaysia disebut sebagai Negeri Kedah Darul  Aman adalah salah satu negeri-negeri yang membentuk persekutuan tanah melayu atau Malaysia. Negeri ini pula dikenal sebagai Negeri Yang Mula-Mula Menerima Islam di Rantau Semenanjung.

Menurut ahli-ahli sejarah bahawa Kedah telah menerima Islam hasil daripada gerakan dakwah yang dijalankan oleh mubaligh Islam, pedagang-pedagang Islam serta ahli korporat Islam yang datang samada dari Arab, Parsi, China dan India.

Seterusnya juga apabila kajian demi kajian dijalankan ternyata mereka berpendapat Kedah adalah negeri yang mula-mula sekali menerima Islam di rantau Semenanjung Tanah Melayu berpandukan kepada beberapa sumber bertulis dan penemuan hasil carigali pihak arkeologi di Kedah pada akhir- akhir ini, telah didedahkan kepada umum bahawa dakwah Islam telahpun sampai di negeri ini sejak abad kesepuluh lagi.

Walaupun tarikh yang tepat dan jelas mengenai kedatangan Islam di Kedah sehingga kini belum dapat dipastikan, namun begitu apa yang pastinya adalah, Kedah telah menerima Islam lebih awal dari negeri- negeri Melayu di Semenanjung berdasarkan hasil kajian sejarah yang dilakukan oleh ahli sejarah, penemuan bukti- bukti sejarah seperti batu nisan, kewujudan perkampungan “ Langgar” yang berasal daripada perkataan Parsi, sumber rujukan batu nisan di Aceh, buku-buku sejarah negeri Kedah seperti Tarikh al- Salasilah Negeri Kedah dan sebagainya.

Kedah merupakan salah sebuah tempat persinggahan peniaga dan pedagang daripada Arab, Parsi dan India termasuk yang beragama Islam. Selain membawa barang dagangan mereka juga menyebarkan Islam ke tempat yang mereka singgahi.

Terdapat bukti yang menunjukkan Islam sampai ke Kedah lebih awal daripada negeri lain, antaranya sejarah Kedah mencatatkan seorang ulama Arab, Syeikh Abdullah al-Yamani telah datang ke Kedah dan mengislamkan Maharaja Derbar Raja II (kemudiannya digelar Sultan Muzaffar Shah I) pada tahun 531H (1136M).

Beliau kemudiannya menjadi guru agama sultan dan menetap di Kedah. Dengan berpandukan catatan ahli sejarah, bukti-bukti batu nisan yang telah dijumpai, bukti kewujudan alim ulama dan institusi pondoknya, maka kita dapat bersandarkan dengan penemuan bukti tersebut bahawa Kedah telah menerima agama Islam lebih awal dari negeri-negeri yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu.

Antara artifak yang ditemui dan mengarahkan kita kepada tarikh terawal adanya pengaruh Islam di Kedah ialah catatan aksara Arab pada sekeping batu yang ditemui di Tupah berhampiran Gunung Jerai sebelum perang dahulu. Inskripsi ini mencatatkan nama tokoh dan tarikh iaitu “ Ibnu Sirdan 214H/829M” yang membuktikan bahawa adanya tokoh- tokoh dari Timur Tengah samada Arab ataupun Parsi yang mengembara bertujuan untuk mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Sepasang batu nisan purba yang ditemui di sebuah tanah perkuburan Islam di Kampung Tanjung Inggeris Langgar, kira-kira 8 kilometer dari Bandar Alor Setar, jelas terpahat di situ nama, Syeikh Abdul Kadir Ibni Hussein Syah Alirah” dan tarikh meninggalnya “3 Rabiulawal 291H/904M yang menunjukkan satu lagi bukti bahawa adanya pengaruh Islam dan Islam sudahpun bertapak di Kedah.

Mengikut pandangan Braddell beliau mempercayai bahawa apa yang disebut pelabuhan Takola oleh Ptolemy dalam buku geografinya itu adalah negeri Kedah Darulaman sebagaimana juga apa yang diperakui oleh orang- orang Yunani, Dan ini juga diakui oleh ahli pelayaran Arab seperti Ibnu Kurdahbih dan sebagainya.

Bagaimanapun pada umumnya sejarah kemasukan Islam di negeri Kedah dikaitkan dengan usaha Syeikh Abdullah Yamani yang telah mengislamkan Maharaja Derbar Raja 11 pada tahun 1137M dan telah menukarkan namanya kepada Sultan Muzaffar Syah 1.

Hujah ini juga diperkuatkan dalam buku-buku dan manuskrip lama seperti alTarikh al- Salasilah negeri Kedah, Salasilah atau Tarekh Kerja-an Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa yang telah menyebutkan bahawa sultan ataupun raja Kedah yang pertama memeluk Islam dengan memakai gelaran Sultan Muzaffar Syah yang mana telah diislamkan oleh seorang tokoh ulama ataupun tokoh pendakwah dari arab iaitu Syeikh Abdullah Yamani ataupun, Syeikh Abdullah Baghdad ataupun juga Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Ja‟far Qaumiri.

Walaupun dilihat seperti ada perbezaan dari sudut nama tokoh pendakwah yang telah mengislamkan raja Kedah itu, namun hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sejarahwan bahawa wujudnya pengaruh Islam di negeri Kedah dan negeri Kedah adalah negeri yang terawal menerima pengaruh Islam di Malaysia.

Daftar Pustaka
[1]Mohd Supian Sabtu (2002), Tamadun Awal Lembah Bujang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h.11-15.
[2]Wan Shamsudin Mohd Yusof (2000), Senario Institusi Kesultanan Kedah,(Seminar Kedah 100 Tahun di UUM, 20-21 Ogos 2000), h. 1-2.
[3]Ahmad Jelani Halimi (1998), “Kemasukan Islam Ke Kedah”, (Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman 11, Universiti Sains Malaysia 1998), c. 1, h. 10.
[4]Abdul Rahman Hj.Abdullah (2006), Islam Dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisional, c.1, Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid, h.107.
[5]Biografi Ulama Kedah Darulaman (1996), Kedah: Lembaga Muzium Negeri Kedah Darulaman, j. 1, c. 1, h. IV-7.
[6] Majlis Kebudayaan Negeri Kedah Darul Aman, (Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman 11 1998), c.1, h. 6.

Belum ada Komentar untuk "Kedah Negeri Yang Mula-Mula Menerima Islam di Rantau Semenanjung"

Posting Komentar

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel